Sabtu, 16 Mei 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Tema Hari Guru Yang Menyemarakkan Martabat Dan Maruah Guru!
Tema ini dipilih berdasarkan peranan guru sebagai pendidik terbukti telah memainkan peranan utama dalam memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan dan seterusnya membangunkan negara sehingga dikagumi oleh dunia luar. Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar akan menjadi warganegara yang berfikiran global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri tempatan justeru mampu bersaing dengan kepesatan dan 'kesesakan' dunia luar. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Tema ini bermatlamatkan hasrat untuk memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan dan modal insan.
Guru-guru perlu memandang ke hadapan berbekalkan visi dan misi yang jelas demi kebahagiaan generasi akan datang di negara yang berdaulat ini. Negara bangsa yang unggul mampu menghasilkan satu ketamadunan yang memiliki masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi, berilmu, beriman serta berakhlak mulia. Usaha untuk mencapai pembentukan tamadun yang tinggi peradabannya ini, memerlukan kesegaran dan pembugaran budaya berfikir. Budaya ini terarah untuk mewujudkan rakyat yang bertanggungjawab serta kukuh akidah mereka. Pentradisian budaya berfikir merupakan anak kunci bagi kemajuan dan keunggulan sesebuah negara.
Kecemerlangan akademik belum bermakna kecemerlangan kehidupan. Semata-mata berpaksikan kecerdasan otak, kemahiran teknologi belum dapat melindungi manusia daripada sifat-sifat kejahilan, kebebalan dan kehaiwanan. Guru bertanggungjawab memastikan bahawa ilmu yang memuncak tanpa iman dan hidayah llahi boleh mendorong manusia menjadi makhluk pintar tetapi perosak dan berbahaya. lnsan yang berkemahiran dan berakhlak mulia adalah insan yang diharapkan mampu memanfaatkan ciptaan Allah untuk kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah manusia adalah berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman.
Guru-guru mempunyai peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan dan mentransformasikan ilmu yang baik, meninggikan adab, serta sikap murni yang diredhai Allah, memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran. Sejauh manakah teras ini mampu diperkukuh dan disepadukan demi pembinaan negara bangsa......SELAMAT HARI GURU SEMUA

1 ulasan:

  1. Selamat Hari Guru ...guru pembina insan rabbani .. blog yang bagus..semarakkan perjuangan dakwah ...
    pst ~ ust zaharin lama tak jumpa...
    ~ ust jalal rindu kat khat hang..

    BalasPadam